Saturday, April 08, 2006

ulasan ramy

Ulasan Sajak "khabar(dari) angin" oleh Sdr.AJ
oleh ramy0722

Pengenalan
menyentuh jiwa
khabar (dari) angin
oleh abdullahjones

air yang jatuh
dari birai mata
aku biarkan.
biarkan ia bergolek
kepipi dan hapus
diresap angin.
nanti angin akan
khabarkan kepada alam
yang aku sedangrindu.

Ulasan Sajak "khabar(dari) angin" oleh Sdr.AJ
Assalamualaikum wrt.wbh

Pendahuluan

Sekali lagi terasa "gatal tangan" saya untuk mengomel tentang sebuah sajak. Sajak yang dipilih pula adalah sebuah sajak yang amat menyentuh jiwa, pengkaryanya pula adalah seorang penyair mapan, dihormati dan dikagumi di esastera, tidak lain dan tidak bukan sdr.abdullahjones ( atau dikenali sbg. Sdr.AJ )

Sajak terbaru penyair ini yang bertajuk "Khabar ( dari ) Angin" telah berjaya menyentuh rasa dan membelia jiwa serta menggetarkan hati penulis. Walaupun sajak penyair ini baru diulas oleh seorang pengulas prolifik iaitu sdr.Airmas_sz ( sifu ), tapi saya rasa sajak ini perlu diberi perhatian dan merit sewajarnya.Biarpun penulis bukan selayaknya mencoret sesuatu terhadap karya penyair ulung ini, tetapi seperti biasa tetap digagahi jua.

Bahasa / Bentuk

Sajak ini menampilkan tiga rangkap/ bait dengan bait pertama dan kedua mengandungi tiga baris, manakala bait terakhir mengandungi empat baris. Jika dilihat kepada rima akhir/ hujung sajak ini ia menampilkan bunyi a,b,c pada rangkap pertama dan kedua manakala a,b,c,d pada rangkap akhir.Jika dilihat pada jumlah suku kata pada setiap baris, maka rangkap pertama mengandungi 5,6,5 sukukata, rangkap kedua pula ialah 7,6,5 dan rangkap akhir dengan 6,8,5,2 sukukata. Berpandukan kepada ciri-ciri ini sajak ini berbentuk bebas.

Penyair menampilkan aliterasi huruf konsonan "n" dan asonasi huruf vokal "a" pada baris pertama rangkap akhir pada ungkapan "nanti angin akan".

Tema / Persoalan

Secara keseluruhannya sajak ini menampilkan tema rindu dengan nada melankolik yg menyentuh jiwa.

Untuk lebih menyelami sajak ini, marilah kita selami rangkap demi rangkap.
air yang jatuhdari birai mataaku biarkan.

Rangkap pertama sajak ini menunjukkan bahawa penyair telah menangis atau mengalirkan airmatanya, tetapi beliau membiarkannya menitis. Penyair hanya menggunakan ungkapan "air yang jatuh dari birai mata" bagi menunjukkan airmata, ia membangkitkan rasa sayu dalam keindahan kalimat-kalimat itu. Airmata yang mengalir itu pada rangkap ini tidak menunjukkan beliau menangis atau ada sebab lain seperti tercucuk jari.
biarkan ia bergolekkepipi dan hapusdiresap angin.

Rangkap ini menambahkah lagi rasa sayu kita, para pembaca kerana penyair membelai rasa kita dengan menjelaskan airmata itu dibiarkan mengalir tanpa diselanya, sebaliknya dibiarkan angin menghapuskan airmata tersebut. Menunjukkan betapa perasaan penyair teramat derita sehingga tidak larat untuk mengesat airmatanya.

nanti angin akank
habarkan kepada alam
yang aku sedangrindu.

Persoalan kita dirangkap pertama terjawab di rangkap terakhir ini, airmata penyair adalah tangisan kerinduan bukan kerana tercucuk jari atau sebagainya. Penyair berkirim rindu melalui angin agar dikhabarkan bukan sahaja kepada yang dirindui, tetapi jua kepada seantero alam.

Sesuatu yang menarik pada sajak ini, ayat-ayat pada setiap barisnya digubah tergantung. Ini menjadikan kita seolah-olah merasakan perasaan sebak penyair yang terungkap pada sajak ini. Inilah keistimewaan dan keindahan persembahan kata, yang ternyata mampu membelai rasa.Selain daripada itu, sajak ini juga dapat melarikan diri dari klise bila penyair mengungkapkan airmata dengan "air yang jatuh dari birai mata" bukan manik-manik mutiara seperti biasa pada rangkap pertama, juga mengungkap "biarkan ia bergolek" iaitu titis airmata disifatkan bergolek bukan meleleh atau menitis seperti yang biasa digunakan.

Tetapi, jika dilihat kepada tajuk, kenapa penyair meletakkan dari di dalam kurungan ( dari ) ? Adakah penyair menunjukkan bahawa beliau tidak percaya bahawa angin boleh membawa khabar? Atau perkataan dari itu boleh dibuang dan menjadi "Khabar Angin " ? Khabar angin tentang kerinduan penyair ? Wallahu a'lam, hanya penyair yang tahu tujuan sebenarnya.

Penutup

Seperti biasa, saya menyusun sepuluh jari andai ceteknya coretan ini tidak berjaya menyelami dalamnya maksud sajak ini. Coretan ini adalah sedikit apresiasi kepada sebuah sajak yang teramat indah.

Sekian, sekadar coretan.
Wassalamualaikum wrt.wbh.
Saya yang kerdil,
-As SyramyPasir Mas,28 0010H Jan.2006

No comments: