Saturday, October 03, 2009

Nilai silam vs semasa

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
Berita Harian 03/10/09

NOR SURAYA dengan karyanya, 'Childhood'.


Dituangkan dalam 33 karya 24 pelukis tempatan

PAMERAN Lukisan Ekspresi Artistik membawa peminat seni rupa menghayati terjemahan nilai, pemikiran dan falsafah 24 pelukis yang menjayakan pameran ini melalui 33 karya mereka yang dapat disaksikan sehingga 7 Oktober ini.

Keseluruhan karya pada pameran di Galeri R A Fine Arts, Kuala Lumpur, menterjemah nilai silam dan semasa melalui keupayaan pemikiran pelukis dan secara tidak langsung dapat dikesan pegangan falsafah mereka.

Penampilan sulung bakat muda, Nor Suraya Johari, mengangkat tema penderaan kanak-kanak melalui dua karyanya, Broken dan Childhood, menuntut peminat seni rupa memberi perhatian terhadap isu sedemikian yang nampaknya semakin kerap berlaku walau di jagat mana.

"Saya berharap peminat seni rupa lebih prihatin terhadap isu ini dan dapat merasai emosi kanak-kanak mangsa dera. Dalam Broken, saya memberi tumpuan kepada emosi subjek melalui warna suram, manakala Childhood menampilkan peristiwa hitam dalam kehidupan kanak-kanak," jelasnya pada pertemuan dengan Galeri di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, yakin bahawa setiap pelukis berusaha menampilkan jati diri mereka melalui karya agar peminat senang mengingati mereka.

"Apabila orang melihat lukisan saya, mereka akan segera mengingati perihal kehidupan dan kanak-kanak. Sebagai pelukis baru, saya mahu terus mengukir nama dan berharap hasil karya saya dikenali ramai serta mendapat perhatian luas daripada peminat seni rupa," katanya.

Di tangan Md Sani Md Dom, lukisan Rumah Bagan pasti mengembalikan ingatan pengunjung kepada suasana kehidupan masyarakat desa di kawasan perairan dengan pelbagai peristiwa dan menghargai erti kehidupan dan memanjat kesyukuran akan kesenangan yang dimiliki kini.

Lukisan 5O Tahun Sebelum Merdeka karya Osman Akbar mengembalikan nostalgia zaman sebelum kemerdekaan, meskipun hanya menggunakan warna air sebagai bahantara, tetapi tetap meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa masyarakat.

Khairul Azmir Shoib pula memanfaatkan pengertian dan penghayatan bulan puasa dalam Ramadan, sekali gus mengingatkan peminat seni rupa untuk kembali kepada diri dengan segera mengingati maha pencipta.

Pengarah RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah, berkata pameran berkenaan bertujuan memberi peluang sama rata kepada pelukis terkenal dan pelukis muda untuk berkongsi idea dan pandangan mereka.

"Kebanyakan lukisan yang dipaparkan membabitkan realiti masyarakat di Malaysia. Terpulang kepada khalayak untuk mentafsirkan maksud di sebalik setiap lukisan kerana semua ada keunikan dan nilai tertentu. Pelukis muda juga berpotensi mencapai tahap setanding pelukis ternama," katanya.

Karya Yusuf Bakar, Abdullah Jones, Mia Farizza, Abdul Wafaf Abdul Ghani, Maamor Jantan, Moonair Nazir, Aris Atan, Sharifah Zuriah Al Jeffri, Kasbi Sarbini, Nizar Kamal Ariffin, Nuraini Ibrahim, Osman Bakar, Rafie Abdul Rahman, Samsuddin Mohamad, Zaharuddin Sarbini, Mohammad Din Mohammad, Amiruddin Ariffin, Badruddin Abdul Wahab, Zul Husni Mohd Ridzuan, Mohd Safwan Ahmad dan Nurazlina Zulkifli turut dipamerkan pada pameran terbabit.

INFO: Pameran Lukisan Ekspresi Artistik

Tempat: R A Fine Arts Gallery, No 6, Jalan Aman off Jalan Tun Razak, 55000, Kuala Lumpur.
Tarikh: 17 September hingga 7 Oktober
Karya: 33 lukisan
Telefon: 03-21617341

No comments: