Monday, October 12, 2009

MELATIH ABDULLAHJONES CARA-CARA MENGATUR NAFAS

marsli n.no
SABTU, OKTOBER 10, 2009

MALAM kelmarin, 8 Oktober 2009, saya dengan sengaja telah mengajak Abdullahjones, salah seorang blogger sensasi di Malaysia yang suka mencarut di dalam blognya namun agak ramai juga peminatnya keluar minum, makan ringan dan berbual-bual.

Selepas memparkir Proton Saga baru saya di tempat yang sepatutnya, tanpa terlebih dahulu meminta persetujuan Abdullahjones, dengan sengaja saya memilih sebuah warung yang selalu saya kunjungi bersendirian di waktu malam sambil duduk minum dan memerhatikan telatah manusia yang lalu-lalang di tepi sungai Kuantan.

Jadi malam itu, di warung itulah, sambil saya makan nasi lemak berlaukkan kerang dan Abdullahjones pula memilih nasi lemak berlaukkan kepak ayam goreng, kami berbual pelbagai perkara mengenai blog dan sastera, sambil menikmati pemandangan malam yang indah di tepi sungai Kuantan.

Borak punya borak, akhirnya Abdullahjones telah membuka suatu rahsia dirinya. Kata Abdullahjones dia memang suka naik ke pentas atau muncul di depan untuk membaca sajak. Tetapi Abdullahjones mengaku dia ada satu masalah penyakit. Penyakit itu ialah penyakit terketar-ketar sehinggakan kalau dirakam dengan kamera video, akan nampak sangat dengan jelas akan ketarannya itu dan itu disebut oleh Abdullahjones sebagai penyakit Parkinson.

Istilah itu segera saya bantah. Saya kata itu bukan Parkinson tetapi darah gemuruh dan kalau dalam istilah persembahan di pentas, saya selalu sebut ianya sebagai geruh pentas.

Saya katakan kepada Abdullahjones “penyakit” itu boleh diatasi dengan cara mengatur nafas. Bernafas secara teratur dan perlahan-lahan. Dengan cara begitu, lama kelamaan penyakit gemuruh itu akan boleh Abdullahjones atasi.

Mungkin kerana berasa agak pelik bila saya cakap dia kena belajar semula cara mengatur dan menarik nafas, Abdullahjones saya lihat merenung saya ke atas dan ke bawah agak beberapa detik lamanya.

Munasabah juga kalau Abdullahjones berasa pelik. Manakan tidak, selama ini kan dia sudah pun bernafas, tanpa perlu mengatur dan buat apa-apa dengan nafasnya. Alih-alih malam ini saya pandai-pandai hendak suruh dia belajar mengatur nafas dan melepaskannya perlahan-lahan pula.

Tetapi saya tidak peduli Abdullahjones hendak fikir apa. Yang penting saya hendak tolong dia atasi masalah penyakit gemuruh dia ketika tampil membacakan sajak, itu sahaja.

Kerana itulah, tanpa menunggu Abdullahjones kata dia sudah bersedia, segera saya suruh dia memulakan latihan mengatur nafas.

Saya katakan kepada Abdullahjones dia kenalah tarik nafas dia perlahan-lahan ke dalam perutnya dan selepas itu kena lepaskan sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan, dengan hitungan detik sejauh dan selama mana yang dia mampu.

Saya pun lihat Abdullahjones mula menarik nafas dan menahannya. Saya lihat bibir Abdullahjones yang dirapatkan tersimpul-simpul menahan nafasnya. Begitu juga dengan misai nipisnya. Juga saya lihat terkernyih-kernyih sama.

Lepas ini kau boleh buat sendirilah. Masa kau berjalan sorang diri, masa kau dalam jamban, masa kau memandu kereta (bukan pandu benda lain), masa kau tengah melukis, latihan itu boleh kau lakukan sorang diri. Kau kena usahakan supaya makin lama makin panjang detik yang boleh kautahan dan lepaskan nafasmu itu.

Fuh, panjang lebar saya berceramah dan tinggalkan pesan buat blogger sensasi yang suka mencarut di dalam blognya yang bernama Abdullahjones itu.

Saya yakin, beradasarkan pengalaman saya sendiri, tidak berapa lama lagi penyakit darah gemuruh Abdullahjones itu akan hilanglah. Asalkan syaratnya Abdullahjones rajin berlatih dan mematuhi persyaratannya yang lain, iaitu mengurang jumlah batang rokok yang dia kepah asapnya secara sia-sia itu dalam sesuatu hari.

Selepas berjaya dengan latihan ini saya juga yakin Abdullahjones akan semakin menjadi hebatlah sebagai pembaca sajak, yang mana saya yakin boleh mengalahkan pembaca sajak yang sedia ada dan terkenal seperti saya sendiri, Pyanhabib, geng dalam Sindiket Sol-Jah seperti Vovin, Matjan, Sinaganaga, walhal Ahmad Shukri Abdullah juga!

Dan untuk segala kehebatan Abdullahjones nanti sebagai pembaca sajak itu, tentulah di belakangnya adalah saya yang telah melatih dia cara yang betul untuk bernafas dan mengatur nafas.

Ha. Ha. Ha. Dalam soal dan bidang seperti ini memang saya tahu tiada siapa pun dalam negara ini yang boleh mengatasi kebolehan dan kepandaian saya. Kalau tidak percaya boleh tanya Ridzuan Harun, Wardah Munirah, Rahimidin Zahari atau Amirul Fakir. Dan sebagai peringatan, Mohd Saleeh Rahamad, Luti Ishak dan Shamsudin Othman janganlah berasa cemburu dengan kebolehan saya yang ini.

Bab berlatih dan melatih ini memang sesuatu yang sangatlah memenatkan dan belum tentu terjamin hasil dan mutunya kalau tidak dilaksanakan dengan betul, sungguh-sungguh serta ikhlas. Misalkan di universiti atau intitusi seperti ASWARA, setiap tahun berapa ramai murid yang dilatih untuk menjadi penulis, tetapi yang benar-benar menjadi penulis, cuba sesiapa berikan saya statistik yang jelas, berapa?

Kerana keletihan dan kepenatan dengan latihan itulah, baik saya dan Abdullahjones, seperti mana yang dilaporkan Abdullahjones dalam blognya, masing-masing telah menghabiskan dua gelas minuman malam itu.

Cuba bayangkan, dua gelas minuman. Itu baru tidak sampai pun lima minit melatih seorang pembaca sajak bernama Abdullahjones.

Kalau dua, tiga, dan lebih dari lima minit, kiralah berapa jumlah gelasnya.

Oktober 10, 2009

No comments: