Friday, August 03, 2007

mohd dahri zakaria

Melihat Kesucian Sajak-Sajak Suci AbdullahJones

Oleh MOHD DAHRI ZAKARIA



Naskhah kumpulan sajak AbdullahJones sampai secara kebetulan ke tangan saya apabila secara tiba-tiba saya terserempak dengan AmirMukhriz dan anggota soldadu Soljahnya di sebuah kedai mamak di Bangsar baru-baru ini. Kebetulan saya ada temujanji dengan seorang rakan sekitar tempat itu, dan dalam melilau cari kedai untuk membeli kredit telefon, saya ternampak AmirMukhriz dan rombongan sindiketnya itu.



Apabila berpindah tangan, segera saya meneliti helai demi helai naskhah 90 halaman itu. Dengan gambar seorang model, yang katanya, seperti di dalam naskhah berkenaan menyebut, Ahmad Zahidi Abdul Majid, segera menghantar ingatan saya kepada tuan punya diri naskhah berkenaan.



Mungkir



AbdullahJones, yang kemudian dikenali sebagai AJ, seperti diketahui ramai, adalah lelaki misteri di talian, terutamanya di eSastera.com. Keprolifikan beliau berkarya, baik entri ataupun sajak, tidak sesekali mengubah kemisterian beliau sehinggakan kedudukan beliau itu diiktiraf umum.



Asalnya, melalui seorang broker, AJ pernah berjanji untuk berduet dengan saya dalam satu antologi sajak. Dan dengan jelas, melalui broker berkenaan, beliau turut mengumpan kesungguhan dan budget untuk tujuan penerbitan berkenaan. Beliau meminta masa 6 bulan untuk tujuan penyediaan bahan, dan tugas saya dalam tempoh itu mengenalpasti pencetak yang sesuai dengan selera yang telah dipersetujui sebelum ini.



Anehnya, tak lama selepas itu, AmirMukhriz tiba-tiba menelefon bertanyakan tentang Pyan Habib untuk mendapatkan kata pengantar bagi naskhah puisi AJ yang sedang diusahakannya bersama Sindiket Soljahnya.



Nah, nampaknya AJ telah mungkir janji. Dan maklum AJ kepada saya selepas itu, brokernya itu sangat marah-marah atas kemungkiran itu. Malu, katanya. Saya tidak terkesan, dan tidak peduli tentang itu. Saya hanya seronok, sebaik menatap naskhah berkenaan.



Suci



Agak tidak jelas apakah yang dimaksudkan suci oleh si AJ ini dalam naskhahnya itu. Saya berkira-kira seorang diri, menghantar diri ke wilayah jauh, kalau-kalau bertemu maksud asal beliau setelah beberapa kali khatam.



84 buah Sajak Sajak Suci yang telah beliau hantar kepada khalayak dalam naskhah ini, yang sebahagian besarnya telah dikunyah lama dulu dalam eSastera.com. Sungguhpun tiada kredit direkodkan beliau, warga eSastera.com kebanyakannya sudah ‘masak benar’ dengan sajak-sajak beliau.



Harus diperakui ‘kepakaran’ beliau sebagai trademark dalam proses penulisan sajak-sajaknya. Kebanyakan sajak-sajak beliau mempunyai tema yang berat, yang diolah secara langsung dalam bentuk yang mudah. Tema-tema seperti politik dan kritik sosial, meniti dari satu halaman ke satu halaman.



Lihat saja sajak ‘Grafiti’, dengan nada siasah beliau menukilkan;



berak saja di kepala para menteri yang berjanji kosong

yang hanya mahu menang untuk penuhkan

kantung yang tidak pernah

singgah minum teh bersama para kami

yang hanya pentingkan urusan luar negeri

yang datang ke gereja bersama kami

bila hampir hari mengundi



berakkan saja kepala mereka





Kemudian AJ menyambung pula lewat kritik sosial melalui ‘Grafiti II’, sebagaimana berikut;



kekasih kini adalah perempuan lacur

yang cuma perlu dibayar dengan cinta



atau kekasih kini adalah lelaki bacul

yang melepaskan mani di bangku taman



kerana bernikah kini adalah haram

selagi belum cukup sejuta wang hantaran





Pendek



Saya percaya, sajak-sajak ini, seperti juga sajak-sajaknya yang lain, adalah sajak ‘mee segera’, yang dicipta dengan sekali duduk. Hal ini boleh ditelusuri melalui bentuk-bentuk sajaknya, yang kebanyakannya pendek-pendek.



Sengaja saya katakan ia sajak sekali duduk, kerana jika diperhalusi kebanyakan sajak-sajak beliau bukan hanya sekadar pendek, malah pemilihan tajuk-tajuknya juga tidak menunjukkan ia di cipta secara terancang.



Antaranya seperti terdapat beberapa buah sajak yang mempunyai beberapa tajuk, seperti ‘sajak harga minyak atau sajak tariff letrik atau mungkin juga satu lagi sajak buat min’, ‘sajak yang banyak tanda koma atau sajak untuk pak menteri’, ‘sajak motivasi atau sajak gembira atau sajak bangkit dari malam yang teramat malang’, dan ‘sajak akhir musim dingin atau sajak sekawan biri-biri yang cerdik’. Ia seolah jelas memperlihatkan penulisnya tidak yakin dengan tajuk yang dipilih pada waktu ia ditulis. Tetapi dari segi teks, walaupun ia berbentuk ‘mee segera’ tetapi ia bukan sebarang ‘mee segera’ yang biasa kita temui.



Daripada 84 buah sajak dalam naskhah ini, lebih kurang 40 buah daripadanya adalah sajak-sajak pendek yang setiap satunya hanya sekitar 2 hingga sembilan baris, dengan setiap baris hanya dari satu hingga lima patah perkataan sahaja.



Namun haruslah diperakui bahawa kependekan bentuk sajak-sajak beliau bukanlah skala yang sesuai untuk mengukur keseriusan mesej yang cuba beliau lontarkan ketengah khalayak. Barangkali ini kesucian yang beliau cuba maksudkan.



Seperti sajak, ‘sajak ular dalam semak’, beliau menyindir segolongan ahli masyarakat yang menggunakan agama untuk kepentingan diri, yang beliau nukil begini;



Allahhhh!

Allahhhh!

jaja ahli agama,

dan dibeli



laris





Sajak ini sungguh terkesan, dan keras walaupun pendek, dan menuding terus kepada kebanyakan pemain politik dan agamawan yang tersasar.



Lihat lagi kemudiannya 2 sajak lain yang memperlihatkan secara jelas AJ mengkritik kemajuan yang telah digunakan secara salah sejak akhir-akhir ini melalui sajak ‘rengus ii’ dan ‘setan baru’ sebagaimana berikut;



rengus ii

(cerai sms)



kasihan para perempuan

dicerai tidak laku

dipelihara

lalu menjadi beku





setan baru



hey!

ambil gambar (telanjang)ku

buat pengubat rindu

simpan di telefon bimbitmu





Sisi lembut



Dalam keras-kasar AJ melontar kritikan sosial ketengah khalayak, sesekali dapat dikesan beliau kembali ke dalam diri sendiri, bermonolog dan bercerita tentang kasih sayang.



Siri sajak-sajak ‘min’ contohnya, jelas memperlihatkan sisi lembut AJ.



Min



min

sajak ini

akan lebih romantis

jika kau ada di sisi

tika aku menulisnya





Min iii



min,

harum kasturi tidak seperti

harumnya tubuhmu yang kucium

beribu kali biar hanya di alam mimpi,

min





Min iv



min,

kuseru namamu

kala rindu meruntum kalbu



Ada beberapa siri lain lagi yang turut menyentuh tentang ‘Min’, seperti ‘nneleh’, ‘manisan’, ‘tiada esok bagiku’, ‘sajak hiba buat min’, dan ‘min kembali’.



Dalam waktu yang sama, sesuatu yang tidak dapat ditinggalkan AJ dalam sajak-sajak beliau ialah tentang emaknya. Dalam naskhah ini, ada 7 buah sajak yang khusus beliau bermonolog tentang ‘mak’.



Sajak-sajak seperti ‘yang ini peribadi’, catatan buat mok I’, catatan buat mok ii’, ‘blues serba salah’, ‘blues serba salah ii’, ‘blues tak serba salah’, dan ‘pesan politik mak saya’.



Sajak-sajak ini berkisar tentang pelbagai tema yang kebanyakannya merujuk kepada diri penulis itu sendiri. Antaranya seperti pengalaman hidup di negara orang, dan juga pengalaman beliau di zaman kanak-kanak.



Luar kotak



Ada sesuatu yang saya tidak temui dalam naskhah ini, iaitu keluarbiasaan jika dibandingkan dengan naskhah-naskhah kumpulan sajak bagi penulis kebanyakan yang lain. Keluarbiasaan yang saya maksud ialah berkisar tentang rekabentuk dan juga grafik yang ditampilkan. Saya mengharapkan sesuatu yang luarbiasa, sesuai dengan kegedebelannya itu. Tapi malangnya ia tiada.



Nampaknya pembikin naskhah ini masih lagi mengikut resmi lama, yang sepatutnya sudah perlu ditinggalkan oleh pembikin-pembikin generasi baru ini.



Penerbit masih terikat dengan bentuk dan gaya lama bagi sesebuah naskhah puisi. Ruang-ruang yang ada dan kosong tidak diisi secara sepatutnya, dan ini sudah tentu sesuatu yang rugi. Mereka nampaknya terperangkap dengan bentuk sajak-sajak pendek AJ dengan tidak cuba untuk bermain dengan ruang bagi memastikan setiap halamannya mempunyai maknanya yang tersendiri dan tidak hanya sekadar bergantung kepada teks semata-mata.



Hanya satu halaman, yang saya syak berlaku secara kebetulan, di muka surat 76, yang memuatkan sajak ‘tiada esok bagiku’ dapat memperlihatkan penerbit cuba untuk bermain dengan ruang. Sajak ini agak pendek, 3 baris, untuk dipadankan dengan ruang yang agak luas bagi halaman berkenaan. Tetapi apabila teks berkenaan diletakkan dibawah menjadikan ruang yang kosong di atasnya memberi makna yang tersendiri terhadap sajak itu. Dan keadaan seperti inilah yang tidak cuba diterokai oleh penerbit.



Sajak-sajak yang dibukukan, bukan hanya sekadar untuk dibaca teksnya sahaja, tetapi setiap inci ruang yang ada antara teks berkenaan, jika pandai dimanipulasi, juga memberi makna yang khusus bagi sesebuah naskhah itu.



Jika berdasarkan kumpulan sajak ini, sudah tentu terlalu banyak ruang kosong bagi setiap halaman yang tidak dieksploitasi oleh pembikinnya untuk dipadankan dengan sajak-sajak pendek AJ ini. Dan inilah yang tidak ditemui didalamnya. Saya tidak fikir pembikinannya dilakukan secara tergesa-gesa..



Jual



Jika menelaah teks, saya sangat-sangat terkesan dengan sajak-sajak suci AJ ini. Tetapi bila ia dipindahkan dalam bentuk buku, sudah tentu masih ada aspek lain yang perlu diperhalusi lagi.



Menjual teks, kumpulan sajak maksud saya, masih belum cukup laku dipasaran Malaysia. Berbeda dengan di Indonesia. Hal ini harus disedari oleh penerbit mahupun penulis.



Jesteru itu perlu ada unsur lain yang akan membantu dalam penjualan teks berkenaan. Unsur ini sudah tentu berkait rapat dengan aspek rekabentuk dan susunletak teks-teks berkenaan sehingga mampu menarik perhatian khalayak pembaca. Teks-teks sajak, dalam sisi-sisi tertentu perlu dibantu oleh rekabentuk dan susunletak yang menarik untuk lebih membangun dan menghidupkannya lagi.



Ini dapat menarik perhatian khalayak pembaca agar mereka sedar bahawa mereka tidak hanya sekadar membeli teks-teks sajak berkenaan sahaja untuk ditelaah tetapi turut disertai dengan rekabentuk yang menarik sebagai unsur sampingan yang membantu membangunkan sesebuah teks sajak itu.



Sajak Sajak Suci juga harus begitu. Kekuatan bahasa dan mesej yang telah dihantar AJ masih belum cukup berbaloi dengan nilai 20rial yang dikorbankan pembaca. Pembaca sudah tentu tidak hanya sekadar mahu memiliki teks, tetapi lebih daripada itu.

2 comments:

Anonymous said...

sdr dahri (aj juga)
puisi pendek isi ruang kosong? pyanhabib pernah lakukannya dalam antologi kecilnya `suara' pada hujung tahun 70-an.

Anonymous said...

saya belum tengok antologi pyanhabib berkenaan. tetapi ada sesetengah penulis mapan yang kemudiaannya mengisi ruang dalam keadaan-keadaan begini dalam naskhah mereka. seperti muhammad haji salleh (puisi) yang berduet dengan latiff mohiddin (lukisan)