Friday, October 30, 2009

@Sinepleks: Pesta filem pendek malam ini

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Berita Harian
31oct 2009

23 filem ditayangkan di kawasan lapang Rumah Pena Kuala Lumpur

MALAM ini, bermula jam 8.30 malam, majlis tayangan filem pendek oleh beberapa pengarah baru dan lama tempatan, Maskara Shorties, akan dilangsungkan di kawasan lapang Rumah Pena Kuala Lumpur.

Seperti tahun lalu, majlis tayangan filem pendek 10 minit ala ‘wayang pacak’ ini akan menayangkan pelbagai genre filem kepada khalayak yang hadir dalam suasana yang santai.

Acara pada tahun ini muncul majlis tayangan filem pendek kedua anjuran Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama Sekretariat Penulis-Penulis Blog, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) selepas berjaya dengan penganjuran pertama pada 2008.

Maskara Shorties diadakan bagi memberi ruang kepada pembikin dan pengarah filem amatur serta mapan untuk menayangkan hasil kreativiti mereka secara percuma. Ia hanyalah acara tayangan, tiada sebarang diskusi bersama pengarah akan diadakan. Sebarang diskusi boleh dipanjangkan di blog pengunjung yang datang menonton.

Sesuai majlis yang dilangsungkan dalam suasana cukup santai, pengunjung digalakkan membawa makanan, minuman sendiri serta tikar untuk mengalas punggung.

Maskara atau nama penuhnya Malam Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-Kawan yang Kita Suka, diadakan sekali setiap dua bulan di Rumah Pena. Ia menjadi medan penggiat seni generasi baru untuk mempersembahkan pelbagai hasil karya seni tanpa mengira genre.

Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya seorang penggiat seni mapan akan dijemput untuk memperdengarkan sajak, puisi, pantun atau apa saja genre seni mereka kepada hadirin, di samping berkongsi pengalaman mereka. Penggiat seni yang hadir membuat persembahan juga dialu-alukan untuk mempromosi karya mereka dan menjualnya di sana.

Maskara dianjurkan sejak tahun 2007 oleh sepuluh anak muda yang menamakan diri mereka Sindiket Sol-Jah. Kumpulan ini pada asalnya berkongsi minat yang serupa dalam bidang penulisan dan seni. Seterusnya mereka bersepakat mahu menganjurkan aktiviti khusus untuk anak muda yang memerlukan ruang bagi meluahkan diri melalui seni.

Anggota terkini kumpulan itu terdiri daripada Sinaganaga, Vovin, Tok Rimau, Jigo, OP Zaharin, Spyz, Mat Jan, Pipiyapong dan Azzam Supardi.

Walaupun anggota kumpulan ini berlainan latar belakang, seperti editor, pereka grafik, pengaturcara komputer, mekanik, pensyarah bahasa Inggeris dan akauntan, mereka berkongsi minat yang sama dalam bidang penulisan.

Sindiket Sol-Jah menulis dan menerbitkan buku dalam bentuk puisi, antologi cerpen, novel dan blook (buku blog). Sehingga kini sebanyak 15 judul diterbitkan di bawah label Sindiket Sol-Jah dan beberapa judul lagi berada dalam perancangan untuk diterbitkan pada 2010.

Hasil jualan buku terbitan mereka disalurkan untuk penganjuran Maskara, yang membolehkan ia dianjurkan secara percuma kepada umum. Namun begitu, fokus Sindiket Sol-Jah tidak terbatas dalam dunia penulisan semata-mata. Anggotanya turut aktif dalam pelbagai lapangan seperti deklamasi sajak, lukisan abstrak, menggubah lagu dan penganjuran festival filem pendek.

INFO: Senarai filem dan pengarah yang terbabit dalam Maskara Shorties 2009

* 1. Detik 10 - Indra Syahbaani
* 2. Chasing Cats and Cars - Liew Seng Tat
* 3. The Tree - Amir Muhammad
* 4. Pintu - Akashdeep Singh
* 5. Carwash - Aaron Chung
* 6. Taman di Sinkiku - Azharr Rudin
* 7. Melayu 7 - Mamat Khalid
* 8. Soundscapes Journal No. 1 - Kamal Sabran
* 9. Nilai Setitik Garisan - Rozinor Razali
* 10. Hangus - Dean Sham
* 11. Pemburu Buaya Darat - Tok Rimau
* 12. My Perfect Ana - Nazri M. Annuar
* 13. Melayu Di Jalan Melayu - Ridhwan Saidi
* 14. Kimeru - Tosan Priyonggo (filem dari Indonesia)
* 15. Benting (tali pinggang) - Ahmad Hasan Yuniardi (filem dari Indonesia)
* 16. Bertukar - Sinaganaga
* 17. Frankie Goes To Gua Tempurung (The Very Real Road Movie) - Ayie
* 18. Kakmin - Ajami
* 19. Aci Baca Sajak - Abdullah Jones
* 20. Buta-Tribute to Gaza - Iswardy Morni
* 21. Saya Memang Kacak - Alif Firdaus Azis
* 22. Hidup Yang Tidak Dipinta - CST Production
* 23. Psychopomp - M Fathil Shahab

No comments: