Friday, September 11, 2009

Tampannya Budi wadah mendidik

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
berita harian 11/09/09

Luahan puisi tradisional dalam bahasa berus dan warna

PAMERAN Lukisan Tampannya Budi di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur, bermula 10 Ogos hingga 4 Oktober ini, menterjemahkan nilai, pemikiran dan falsafah puisi tradisional serta pantun Melayu di atas kanvas serta arca yang lebih moden sifatnya.

Sejumlah 163 karya 127 pelukis tanah air yang ditampilkan, seolah-olah menjadi 'teks' yang membaca, mengupas dan menafsir pantun dan gurindam, perumpamaan dan bidalan serta syair Melayu lewat permainan berus dan warna, lengkap dengan ulasan.



Bertolak daripada projek penyelidikan Tampannya Budi: Pangkalan Data Digital Seni Visual Melayu oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), warisan Melayu klasik itu dipindahkan untuk kali ketiga dalam sejarah peradaban Melayu, iaitu lisan, tulisan dan lukisan.

Himpunan warisan Melayu itu juga berpindah dari dunia akademik yang dipimpin Felo Kanan Atma UKM, Prof Madya Dr Salmah Abu Mansor dan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) UKM, Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin, kepada dunia artistik di bawah pemerhatian tajam sentuhan kurator, Alizam Hasan di BSLN.

Karya Patak Songsang oleh Mad Anuar Ismail yang menggunakan bahan tara buluh, bertolak daripada peribahasa buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali, menggambarkan patak kain yang bercorak khusus pada batik.


Suhaimi di samping karyanya, 'Mulakan Dengan Bismillah'.


"Kedudukan patak kain di belakang menyebabkan kita akan duduk di bahagian bercorak itu, sekali gus mengingatkan kita untuk duduk dengan berhati-hati, bertepatan dengan peribahasa berkenaan.

"Saya menggunakan buluh sebagai bahan tara juga kerana menghargai bahan tempatan yang jarang dimanfaatkan orang untuk berkarya walaupun ia bahan tara yang bagus untuk digunakan," katanya pada Galeri, selepas majlis perasmian Pameran Tampannya Budi yang dirasmikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Suhaimi Fazir memanfaatkan bahan yang lazimnya dipandang remeh seperti lengkuas dan akar kayu untuk menghasilkan karya, Mulakan dengan Bismillah, sekali gus mengingatkan khalayak untuk kembali kepada diri dengan segera mengingati maha pencipta.

Di tangan Md Sani Md Dom pula, catan Sorong Papan Tarik Papan, pasti mengingatkan kita terhadap pantun jenaka itu yang menyindir perilaku negatif masyarakat, tetapi disampaikan secara bersahaja sehingga mereka yang makan cili saja terasa pedasnya.

Kalau Bohong Sunat? karya Zaim Durulaman yang menggunakan bahan tara akrilik, menterjemahkan peribahasa, siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri, selain mengekalkan nada jenakanya ia tetap menyelitkan persoalan yang lebih moden sifatnya.

Datuk Mahsun Taib pula mengangkat pantun kasih sayang yang disampaikan secara kontradiksi melalui karyanya, Laksamana Mati Terbunuh, dengan menjadikan watak wanita sebagai subjek lukisannya berlatarkan alam.

"Saya mengambil pantun sayang laksamana mati dibunuh itu kerana tanpa sedar dalam sejarah dan budaya Melayu, kita banyak korbankan laksamana yang berjasa. Ketika saya menyiapkan lukisan ini, saya banyak berfikir mengenai isu kesetiaan dan penderhakaan, sekali gus cuba mengaitkannya dengan pantun terbabit," katanya.

Catan lain yang dipamerkan ialah Anak Laut karya Abd Latif Maulan; Malang Pak Kadok (Abu Seman Awang Besar); Sujud XIII L (Ahmad Fauzi Hassan); Tuntutlah Ilmu (Ahmad Faiz Che Juha); Irama dan Lagu Tak Dapat Dipisahkan (Fuziah Ismail) dan Buah Cempedak di Luar Pagar (Mokhtar Ishak).

Lukisan yang menggunakan bahan tara akrilik pula antaranya ialah Siri Pemandangan karya Mohd Yusof Ismail; Rumah Kecil Tiang Seribu Siri I (Haron Mokhtar); Tok Aji dan Lebah (Wan Ahmad Ngah); Kupu-kupu Malam (Mohd Jamil Mat Isa); Wira (Abdul Hamid Shabutdin); Sesuatu di Situ (Abdul Mohsin Aminuddin); Kala Bulan Mengambang (Ali Akbar Othman); Kumbang yang Sombong (Anis Yusal Yusoff) dan Perahu Jangan Karam (Munif Muhamad Nor).

Pameran itu turut menampilkan karya menggunakan pelbagai bahan tara seperti besi dalam arca, Kaki Perempuan dan Kaki Belit oleh Zainuddin Abidinhazir; foto montaj (Di Mana Bumi Dipijak oleh Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob); aluminium (Masak Sebiji di Atas Peti oleh Aznan Omar); kayu dan cat minyak (Delima oleh Juhari Said); cetakan digital (Pak Kaduk Tinggal Songkok oleh Abdullah Jones) dan besi (Pucuk Rebung oleh Mohd Fauzi Mohd Tahir).

No comments: