oleh Azman Ismail.
Anak siapa agaknya mereka
berbaju membuka aurat
celana terlalu ketat
mati akalkah keluarga mereka
mati hati agaknya kita
(petikan puisi Anak Siapa yang di tulis oleh Abdullah Jones pada 7 Disember 1999).
Entah anak siapa
gerangan dia
entah agama apa
anutan dia
bertudung kepala
baju ketat
seluar sendat
nampak pusat
(petikan puisi Anak Siapa karya Aladin Mohamad yang ditulis pada 11 Disember 2005).
Karya seni Malaysia diwarnai ciplak?
BERDASARKAN kedua-dua puisi ini kita akan mengatakan ia adalah karya ciplak atau plagiat. Secara logiknya Aladin mencedok idea dan gagasan Abdullah yang terlebih dahulu menghasilkan puisi dengan tema sedemikian.
Begitu juga lukisan-lukisan Redza Piyadasa yang dikatakan diciplak daripada karya-karya pelukis Eropah. Beberapa karyanya seperti Marakesh Revisited (1971), Homage to Malevich (1971), Chained Art (1976), The Great Malaysia Lanscape (1972) dikatakan karya-karya ciplak.
Karya-karya tersebut kononnya mempunyai persamaan dari aspek konsep dan idea dengan beberapa karya pelukis Eropah seperti Homage to Johann Sabastian Bach (1965), Four Themes, Counterpoint (1959) oleh Yaacov Agam dan Art Box (1962-63) oleh Robert Rauschenberg.
Menciplak bermaksud menyalin sesuatu karya ataupun karangan secara keseluruhan. Pada lazimnya, perbuatan ini lebih dikenali sebagai salin dan tampal. Daripada amalan ciplak ini, dua karya yang seratus peratus sama akan muncul pada dua tempat serta waktu berbeza.
Namun, benarkah Aladin menciplak karya Abdullah Jones dan Redza menceduk secara keseluruhan lukisan-lukisan pelukis terkenal Barat yang berkarya jauh sebelumnya?
Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran ini. Kita boleh sahaja misalnya ‘menghukum’ Redza kerana banyak persamaan dari aspek konsep, teknik dan gaya dalam karya-karyanya yang banyak menyamai Yaacov Agam, Rauschenberg dan Larry Rivers.
Kadang-kadang kita perlu melihat dari aspek lain yang lebih positif. Misalnya, persamaan atau peminjaman idea seseorang pengarang atau pelukis itu dalam berkarya (seperti antara Abdullah Jones dan Aladin).
Dalam sejarah perkembangan kreatif dan seni di negara ini, banyak titik hitam berhubung isu penciplakan. Filem misalnya sering memperlihatkan berlakunya improvisasi dan penciplakan meskipun masih ada ‘wajah’ karya asal yang ditiru.
Kita pasti teringat sebuah karya ciplak di dalam telefilem yang disiarkan oleh sebuah saluran televisyen swasta iaitu Kek & Roti dan Pukau.
Ingat Shallow Hal lakonan Gwyneth Paltrow (Rosemary) dan Jack Black (Hal Larsen)? Filem yang diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Bobby dan Peter Farrelly ini mengangkat tema tentang ‘penilai’ kecantikan.
Begitu juga juga drama Datin Dairies. Ia mempunyai banyak persamaan dengan drama Amerika Syarikat, Desperate Housewives. Ciri-ciri cedukan sangat ketara. Tapi kita bangga melabelnya sebagai hasil seni tempatan.
Dalam perkembangan sastera tanah air, isu ciplak seolah-olah telah menjadi kanser yang semakin merebak. Pada awal tahun 2000 misalnya, seorang penulis dari Kedah yang kini menetap di Selangor, menciplak karya Faisal Tehrani dan Syaidah Shafie?
Cerpen Khadijah Hashim berjudul Budi Yang Tidak Terbeli yang tersiar di majalah Wanita Mei 1971 juga telah diciplak oleh Noor Ilhamizan dan tersiar pula dalam majalah Pentas Dunia (6 Oktober 2000).
Penulis muda Zimie Abadi pula menciplak cerpen Aminah Mokhtar (Jelita, 1999). Cerpen Zimie Abadi tersebut tersiar dalam majalah Al-Islam, Ogos 2000.
Herbert Marcuse dalam One Dimensional-Man (1964) melihat perkembangan negatif dalam bahasa, sastera dan falsafah tersebut dipengaruhi oleh perkembangan objektif manusia.
Manusia berlumba-lumba untuk meraih kedudukan dan demi mempertahankan hegemoni kelompok masing-masing, mereka melakukan perbuatan negatif termasuk ‘mencuri’ hasil-hasil kajian akademik.
‘‘Fenomena buruk dalam bahasa dan sastera ini boleh diperbaiki oleh golongan minoriti yang melakukan ‘pengkhianatan’ terhadap karya-karya orang lain.
‘‘Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan melalui evolusi sosial tetapi tindakan sengaja dan sedar mereka yang melakukan pelanggaran (termasuk penciplakan) itu,’’ tulis George Orwell dalam bukunya Why I Write (2004).
Thursday, August 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Ramadhan Karim Bro. Puasa di mana?
kadang-kadang tak berlaku ciplak atau peniruan... mungkin ada berlaku kebetulan. mungkin gaya pemikiran dan gaya bahasa dah (ter)ditakdirkan sama..
anugerah tuhan. ~~
Post a Comment