Ulasan Sajak “Paderi Meniduri Pelacur” karya Abdullahjones (aj)
Oleh: Irwan Abu Bakar
Baru-baru ini saya pernah berkata bahawa saya ingin mengulas sajak tulisan sdr aj. Beliau juga nampaknya sangat ingin saya mengulas sajaknya. Pada saya, oleh sebab sasaran saya ialah karya aj dan bukan sajaknya yang tertentu, maka adalah lebih bermakna jika saya ambil sajaknya tidak secara selektif. Maka sebab itulah saya ambil sahaja sajak terbarunya, “Paderi Meniduri Pelacur”:
i.
seperti biasalah,
kamu selamanya di tipu
dengan judul utama
akhbar milik negara
pada kertas yang di jual
tertera kebahagian
yang mereka wajibkan
lalu kamu angguk kepala
seperti tahu apa untungnya
bila indeks niaga mencanak
naik
seribu udang yang di sorok
sebalik mee seurat tidak
kamu lihat
ii.
seperti biasalah,
kamu meluru mahu
segera membaca sajak
ini kerana mahu tahu
paderi mana yang
meniduri pelacur yang
mana
setelah butang judul
di ketip dan setelah
sajak ini habis dibaca
kamu merah muka dan
mencari-cari alasan yang
kamu rasakan paling
berkesan untuk menutup
gelojoh yang di tipu
walau seribu daun dapat
menutup bangkai lembu
seekor, baunya kita kongsi
bersama
Isi.
Sajak ini ada dua bahagian. Bahagian pertama memarahi pembaca yang membiarkan diri tertipu dengan tajuk utama akhbar dan menerimanya bulat-bulat tanpa bersikap kritis. Saya anggap bahagian (i) ini telah disampaikan dengan sangat kreatif, iaitu melalui judul sajak ini yang tidak relevan. Kesengajaan menggunakan judul tak relevan ini hanya dapat difikirkan oleh penyair tertentu seperti aj, bukan oleh semua orang. Lebih efektif lagi apabila penulis pandai memanfaatkan kaedah pemaparan sajak di esastera.com apabila perkara yang terpapar mulanya hanya judul sajak itu.
Bentuk.
Saya jarang bertemu sajak aj yang seprosaik ini. Cuba lihat apabila saya tuliskannya semula tanpa enjambemen (saya hanya tambah koma pada baris kedua di kedua-dua bait dan huruf besar selepas noktah di setiap hujung ayat):
i.
seperti biasalah, kamu selamanya di tipu dengan judul utama akhbar milik negara. Pada kertas yang di jual, tertera kebahagian yang mereka wajibkan lalu kamu angguk kepala seperti tahu apa untungnya bila indeks niaga mencanak naik. Seribu udang yang di sorok sebalik mee seurat tidak kamu lihat
ii.
seperti biasalah, kamu meluru mahu segera membaca sajak ini kerana mahu tahu paderi mana yang meniduri pelacur yang mana. Setelah butang judul diketip dan setelah sajak ini habis dibaca, kamu merah muka dan mencari-cari alasan yang kamu rasakan paling berkesan untuk menutup gelojoh yang di tipu. Walau seribu daun dapat menutup bangkai lembu seekor, baunya kita kongsi bersama.
Kalaulah ini sajak saya, akan saya paparkan tanpa enjambemen itu. Namun aj bertujuan mahu mengekalkan sifat ayat pendek-pendak pada sajak-sajaknya barangkali. Atau memang dia kurang sedar bahawa pembaca sebenarnya merasai enjambemen yang diada-adakan itu. Atau memang saya yang sukakan sajak yang ayatnya panjang-panjang.
Pandangan saya.
(a) Sajak ini saya anggap bagus kerana sekali lagi aj berjaya menggunakan bahasa mudahnya dan nada yang sinis untuk menemplak pembaca dengan cara yang berkesan dan original.
(b) Pada saya, sajak ini adalah lebih baik jika disiarkan tanpa bahagian (ii) kerana keadaan “merah muka” dan perbuatan mahu “menutup gelojoh” itu adalah lebih berkesan apabila pembaca sendiri merasainya tanpa perlu dikhutbah oleh penulis, iaitu lebih berkesan jika pembaca ditinggalkan untuk mentertawakan diri sendiri.
(c) Sajak ini termasuk dalam golongan prose poem (sajak prosaan) seperti yang dinyatakan di atas. Kata-kata penanda prosa banyak digunakan, misalnya seperti, kamu, dengan, lalu, kerana, untuk, kongsi. Namun hal itu tidak merosakkan sajak ini.
d) Ungkapan jenaka “udang di sebalik mi” saya anggap sudah basi dan melemahkan sajak ini. Ungkapan “walau seribu daun menutup bangkai lembu, baunya kita kongsi bersama” saya anggap baik. Namun kata “lembu” adalah tidak perlu dan kata “bersama” adalah lewah jika ditinjau dari segi pengekonomian kata yang selalunya diamalkan oleh aj.
Salam.
Wednesday, May 09, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment